Musibah Adakah Untuk Kebaikan? - Cerita Ceriti Ceritu Mamapipie

Breaking

Post Top Ad

Friday, June 3, 2022

Musibah Adakah Untuk Kebaikan?

Assalamualaikum semua. Di sana sini mama lihat ramai yang sedang diuji dengan kesakitan termasuklah ahli keluarga dan rakan mama sendiri. Mama doakan semoga sesiapa yang sedang diiuji ini sentiasa tabah, diberikan kesabaran dan beroleh kesembuhan. Ni mama nak share blogpost lama mama yang pernah mama share sebelum ni. Untuk refresh diri mama.

Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah sentiasa melindungi kehidupan kita. Kalimah "Bismillahir Rahman nir Rahim" – dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang – sentiasa menjadi sebutan kita. Namun ketika musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu mentakdirkan begitu? Sudah sirnakah kasih-sayangNya?

Jangan. Jangan begitu. Dalam apa jua keadaan pun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insya-Allah.

Untuk mencari hikmah sesuatu musibah kita mesti meyakini terlebih dahulu bahawa musibah adalah sebahagian ujian yang pasti menimpa manusia. Ujian adalah satu sunnatullah (peraturan Allah) yang tidak ada siapa pun dapat menghindarkannya kerana hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Bila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. 

Firman Allah s.w.t.:"Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya."(Surah al-Mulk: 3)

Apa itu musibah? 



Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan dan lain-lain. Jadi, Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai (musibah). Kita tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tetapi itulah adalah lumrah hidup. Lalu hati kita bertanya lagi, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?

Musibah ditakdirkan adalah untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Terutamanya Allah hendak menilai (walaupun hakikatnya Allah maha Mengetahui) sejauh mana hati kita. Sesungguhnya, Allah menilai hati kita dan amalan kita.

Sabda rasulullah SAW:"Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu."


Jenis-Jenis Musibah

Sekurang-kurangnya ada tiga jenis musibah (walaupun pada hakikatnya musibah itu sama sahaja) tetapi yang berbeza adalah disebabkan keadaan diri orang yang menerimanya dan bagaimana mereka bertindak ketika menghadapi musibah tersebut.

1. Kifarah.

Yakni musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu. Maka musibah itu diturunkan sebagai "tebusan" untuk meng¬hapus¬kan dosa dan ketelanjuran itu. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Ini lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.Ringkasnya, kifarah adalah ujian untuk "orang baik yang terbuat jahat". Dengan ujian itu, "orang baik" tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.:
"Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar." (Surah al-Zukhruf, 43: 48)

Firman Allah swt:
"Dan kami bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Di antara mereka ada yang soleh dan di antara mereka ada yang tidak demikian. Dan Kami cuba mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran." Al A'raf 168

2. Bala.

Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah datangkan musibah itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.

Ringkas¬nya, bala ialah bentuk ujian ke atas "orang jahat yang buat jahat". Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir'aun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum merasai pula seksa di akhirat.

Firman Allah s.w.t.:"Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan meng¬azab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat."(Surah al-Tawbah, 9: 74)

Firman Allah lagi:"maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu krikil dan ada antara mereka yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." Al Ankabut: 40

3. Ibtila'

Yakni musibah ke atas orang baik ketika melakukan kebaikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila' hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Dengan musibah, orang yang soleh ini akan mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, sangka baik dan sebagainya.

Justeru jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Isa) – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung musibah.

Ringkasnya, ibtila' ialah ujian ke atas "orang baik yang buat baik". Golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila' ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran. Untuk mengambil ibrah dan hikmah daripada sikap mereka ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita menerusi firman-Nya:

"Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?"(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebalik ujian itu. Bila menerima musibah tidak sekalipun mereka tidak mengeluh atau mengadih, "kenapa aku yang kena?" sebaliknya mereka akan berkata, "aku telah terpilih."Maksudnya, terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.

Untuk orang yang sabar Allah menjanjikan bahawa orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab.Bagi mereka yang syahid pula, Rasulullah saw telah bersabda:"Akan diampuni bagi orang yang mati syahid setiap dosanya kecuali hutang." (HR Muslim).

Atas dasar itulah sebahagian ulama salaf berkata:"Andaikan tidak ada musibah di dunia, tentu kita datang pada hari kiamat tanpa membawa pahala."Bagaimana pula nasib orang yang derhaka ketika mereka ditimpa musibah? Apakah Allah tidak sayangkan mereka? Jangan tersilap, malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan Allah adalah untuk kebaikan.


Sabda Rasulullah saw: "Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya dari kesedihan, dan memberi jalan keluar bagi kesempitannya dan akan memberi brezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." HR Abu Daud.


- Artikel iluvislam.com

8 comments:

  1. Semoga kita semua diberikan kesabaran sekiranya menghadapi musibah sebab semuanya datang dari Allah SWT.

    ReplyDelete
  2. belajar new thing. IBTILA. tq for sharing.

    ReplyDelete
  3. Takut sangat kalau dilanda musibah2 ni. Takut sebab tak banyak duit kalau apa2 jadi. Dunia ni semuanya duitttt... hurmmm

    ReplyDelete
  4. insafnya baca yang ni "Jangan tersilap, malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan Allah adalah untuk kebaikan." tq atas peringatan adda

    ReplyDelete
  5. Good sharing Adda.. masa Kak Sue jumpa terapi hari tu, perawat tu cakap.. kalau musibah nie kita anggap bala, maka bala lah dia. Tapi kalau kita anggap musibah nie ujian, teguran Allah dan redha dengannya.. InsyaAllah.. pasti ada hikmah besar menanti..

    ReplyDelete
  6. semoga musibah/ujian akan bertukar ganjaran pahala daripadaNYA

    ReplyDelete
  7. ada kebaikan yang kita dapat pastinya. Saya sudah pernah merasakan akibat musibah dan mendapatkan sebuah kebaikan yang kalau dipikir, hal itu tidak mungkin bisa terjadi. Tetap bersyukur ketika diberi nikmat maupun musibah

    ReplyDelete

Words of wisdom