Adakah Batal Puasa Masukkan Ubat ke Dalam Mata - Cerita Ceriti Ceritu Mamapipie

Breaking

Post Top Ad



Tuesday, May 21, 2019

Adakah Batal Puasa Masukkan Ubat ke Dalam Mata

Adakah batal puasa bagi orang yang berpuasa memasukkan ubat ke dalam matanya?



Jawapan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Perkara yang membatalkan puasa
Dalam membincangkan tajuk ini, seharusnya melihat perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti yang terdapat di dalam fiqh al-Manhaji di antaranya:
  1. Makan atau minum dengan sengaja, namun sekiranya terlupa atau tidak sengaja adalah dimaafkan seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa, sedang dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, dia hendaklah meneruskan puasa. Sesungguhnya Allah SWT yang memberinya makan dan minum itu
Riwayat Imam Muslim (1155)
  1. Memasukan sesuatu ke rongga dalam melalui ruang yang sedia terbuka seperti mulut, telinga, kemaluan dan dubur. Semua perbuatan yang membatalkan puasa itu jika tidak disengajakan sebab terlupa, ia tidak merosakkan puasa dan ini diqiaskan kepada makan dan minum. Begitu juga sekiranya dipaksa untuk makan, ia tidak membatalkan puasa. Ini kerana bukan kemahuan serta kehendak.
(lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/95)
  1. Muntah yang disengajakan adalah membatalkan puasa. Akan tetapi sekiranya tidak disengajakan tidak membatalkan puasa ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:
‏ مَنْ ذَرَعَهُ قَىْءٌ وَهُوَ صَائِمٌ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَإِنِ اسْتَقَاءَ فَلْيَقْضِ
Maksudnya: Sesiapa yang tidak dapat menahan muntahnya semasa berpuasa, dia tidak wajib mengqadha’ puasanya dan jika sengaja muntah, dia hendaklah mengqadha’kannya.
Riwayat Imam Abu Daud (2830)
  1. Melakukan persetubuhan dengan sengaja sekalipun tanpa mengeluarkan mani. Ini seperti firman Allah SWt:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ
Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam, iaitu waktu fajar. Kemudian, sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib), dan janganlah kamu menyetubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri’tikaf di masjid.
                                                                                              
(Surah al-Baqarah: 187)
Walau bagaimanapu, tidak membatalkan puasa sekiranya ia terlupa bahawa dirinya sedang berpuasa, perkara ini dikiaskan kepada makan dan minum.
  1. Mengeluarkan mani dengan sengaja maka terbatal puasanya. Namun sekiranya tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya maka tidak terbatal puasanya.
  2. Haid dan Nifas merupakan keuzuran yang menghalang sahnya puasa. Oleh itu puasa seseorang perempuan itu terbatal jika terdapat haid atau nifas di siang hari dan wajib mengqadha’kannya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayat Abu Said RA, Rasulullah SAW bersabda:
أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ، وَلَمْ تَصُمْ؟
Maksudnya: Bukankah perempuan apabila haidh, dia tidak bersolat dan berpuasa?
Riwayat al-Bukhari (298)
  1. Gila dan murtad, kedua-dua perkara tersebut juga menghalang daripada puasa. Ini kerana orang yang berpuasa dalam keadaan itu telah terkeluar daripada kelayakan beribadat. Justeru, setiap orang yang berpuasa wajib menahan dirinya daripada semua perbuatan yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Ini bererti, jika seseorang melakukan sesuatu yang membatalkan puasa dengan sangkaan fajar belum terbit, kemudian ternyata sangkaannya itu salah, maka puasanya tetap batal.
(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/93-98)
Memasukkan sesuatu ke dalam rongga
Di antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya. Begitu juga memasukkan ubat ke dalam telinga batal puasanya. Adapun sekiranya memasukkan ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa ini kerana mata tidak termasuk di dalam ruang yang terbuka. (Lihat: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181)
Dar al-Ifta Jordan dalam fatwa puasanya menyatakan, “Ubat mata tidak membatalkan puasa walaupun dapat merasakannya di halkum. Ini kerana mata bukanlah tergolong di dalam ruang yang menyalurkan sesuatu sehingga ke rongga.
Begitu juga Dar al-Ifta al-Misriyyah dalam laman sosial rasminya menjawab persoalan berkenaan dengan perbezaan pendapat hukum meletak ubat di dalam mata. Mengukut pendapat al-Imam Syafie’ memasukkan ubat ke dalam mata sehingga sampai ke halqum, tidak membatalkan puasanya.
(Lihat: http://www.dar-alifta.org, fatwa No. 256)
Kesimpulan
Kembali kepada persoalan yang diajukan serta dalil-dalil yang di datangkan. Memasukkan ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa. Ini kerana mata bukanlah termasuk di dalam kategori ruang yang sedia terbuka. Walaupun dapat merasakan kesan ubat sehingga ke rongga dalam namun tidak membatalkan puasa.
Adapun sekiranya termasuk sesuatu melalui ruang yang sedia terbuka seperti mulut, telinga, qubul dan dubur sehingga ke rongga dalam dengan tidak sengaja, maka tidak membatalkan puasanya ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:
مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa, sedang dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, dia hendaklah meneruskan puasa. Sesungguhnya Allah SWT yang memberinya makan dan minum itu
Riwayat Imam Muslim (1155)
Wallahualam

Sumber: Muftiwp

8 comments:

  1. thank you mama. rasa yakin sikit nak letak eye drop lepas ni

    ReplyDelete
  2. nak tahu cite tak? lepas subuh berapa hari lepas, kita sambung tido..lepas tu dalam tido tu, mimpi macam telinga gatal sangat...teruk korek2 dengan sedapnya...lepas tu sambil2 korek tutup mata tu, macam separa sedar, eh aku puasa! terussss stop, ya Allah....nasib baik la tanpa sengaja!

    ReplyDelete
  3. Terima kasih sharing info agar tidak was-was.

    ReplyDelete
  4. syukran..berkongsi ilmu..ada byk kelonggaran bagi mereka yg sakit, Islam itu indah..

    ReplyDelete
  5. Kepada sesuatu yang perlu tentu ada kelonggaran.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih atas perkongsiannya....

    ReplyDelete
  7. bagus info yang dikongsi.. tq mamapp

    ReplyDelete

Words of wisdom