Hukum Membunuh Binatang Yang Nazak Dan Kritikal (Euthanasia)

Hukum Membunuh Binatang Yang Nazak Dan Kritikal (Euthanasia). Disebabkan mama ni sejenis yang mencintai haiwan maka mama selalu lihat channel youtube berkenaan haiwan dan tengok movie tentang haiwan. Selalunya jika ada haiwan kesayangan yang sakit owner akan buat Euthanasia untuk hentikan kesakitan haiwan kesayangan diorang tu. Tapi apakah Hukum Membunuh Binatang Yang Nazak Dan Kritikal (Euthanasia)? Mari kita baca. 







Hukum Membunuh Binatang Yang Nazak Dan Kritikal (Euthanasia)

SoalanAssalamu’alaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah hukum membunuh binatang seperti kucing dan anjing yang dalam kesakitan, dengan tujuan untuk menghilangkan penderitaan mereka? 


Wuuu.. comelnya

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Prinsip Ihsan Hatta Kepada Binatang

Allah SWT telah menetapkan prinsip ihsan dalam setiap perkara. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ ‏"

MaksudnyaSesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ‘al-Ihsan’ ke atas setiap perkata, maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan sebaik-baiknya, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kalian tajamkan pisau supaya binatang disembelih mati dengan lebih cepat dan mudah.

Sahih Muslim (1955)

Bahkan telah tsabit daripada hadith Baginda SAW, bahawa seorang wanita di azab di neraka lantaran tidak memiliki sikap belas ihsan terhadap seekor kucing:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya“Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.”

Riwayat al-Bukhari (3318) dan Muslim (2619)

Nyawa setiap binatang juga perlu dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati secara sewenang-wenangnya. Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّ فُلاَنًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ

MaksudnyaBarangsiapa yang membunuh burung kecil tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dnegan sia-sia tanpa sebab dan tidak membunuhku kerana sebarang manfaat.

Sunan an-Nasa’ie (4446)

 

Hukum Euthanasia Ke Atas Binatang Yang Sakit dan Melarat Mengikut Mazhab



Bertitik-tolak dari prinsip belas ihsan inilah kita harus bicarakan isu membunuh binatang yang sakit dan melarat (euthanasia) bagi menghilangkan penderitaan mereka. Dalam isu ini terdapat beberapa pandangan para fuqaha’ yang telah dikemukakan.

i. Mazhab Hanafi

Menurut Syeikh Hasfaki, dibenarkan menyembelih kucing atau anjing untuk sebarang manfaat, dan adalah lebih awla untuk dibunuh anjing yang sedang nazak dan hampir mati. Menurut Syeikh Ibn ‘Abidin, kucing yang dalam kesakitan hendaklah disembilah bagi mengurangkan kesakitannya. Menurut Syeikh Tahtawi, hukum keharusan ini tidak terhad kepada anjing sahaja. (Lihat Ad-Dur al-Mukhtar wa Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 6/474)

Disebut dalam Al-Fatawa al-Hindiyyah, kucing yang dalam kesakitan hendaklah disembelih dengan pisau tajam. Terdapat juga fatwa yang membenarkan membunuh keldai yang sakit yang tidak dapat diambil manfaat daripadanya untuk menghilangkan penderitaanya. Terdapat juga fatwa bahawa jjika suatu kampung itu penuh dengan anjing dan memberi kemudaratan terhadap penduduk kampung terebut, maka tuan anjing itu boleh disuruh untuk membunuh anjing-anjing miliknya. Jika dia enggan, perkara itu perlu dbawa kepada qadhi supaya dia mengarahkan tuan tersebut untuk melaksanakan perintah itu. (Lihat Al-Fatawa al-Hindiyyah, 5/360-361)


ii. Mazhab Maliki

Syeikh al-Dardir menyebut bahawa diharuskan menyembelih keldai dan baghal jika ia tiada harapan untuk sembuh daripada sakit yang dialami, bahkan disunatkan bagi menghilangkan penderitaannya. (Lihat Sharh Mukhtasar al-Khalil wa Hashiyat Dasuqi, 2/108)


iii. Mazhab Syafi’e

Imam Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh As-Syabramalisi dan Syeikh Abu Bakar ad-Dimyathi mengharamkan menyembelih haiwan yang tidak boleh dimakan, sekalipun untuk tujuan merehatkannya (daripada kesakitan), seperti himar yang sakit berkekalan”. (Tuhfah al-Muhtaj, 9/322; Hasyiyah as-Syabramalisi ‘ala Nihayatul Muhtaj, 8/177 dan I’anatu at-Thalibin, 2/388)


iv. Mazhab Hanbali

Syeikh Al-Buhuti dan Syeikh al-Khalwati menyatakan bahawa tidak harus menyembelih haiwan untuk tujuan selain daripada untuk memakan dan mengambil manfaat darinya seperti untuk merehatkanya (daripada kesakitan), meskipun haiwan itu berada dalam kesakitan yang teramat sangat. (Lihat Kasyaf al-Qina’, 1/55 dan Hasyiyah al-Khalwati ‘ala al-Muntaha al-Iradat, 5/509)


v. Ulama Kontemporari

Syeikh Ibnu ‘Uthaimin apabila ditanya berkenaan haiwan-haiwan dijalanan yang dilanggar kenderaan, apakah boleh dibunuh? Beliau menjawab tidak boleh dibunuh dan perlu dibiarkan kerana ia tidak termasuk di bawah tanggungjawab kita, sambil berharap agar Allah SWT memberi kesembuhan kepadanya. (Rujuk Liqa al-Bab Al-Maftuh, 2/16]

 

Kesimpulan

Daripada nukilan pandangan para fuqaha di atas, kami berpandangan hukum asal melakukan euthanasia terhadap haiwan yang sakit adalah tidak dibenarkan. Ini kerana ia tetap termasuk di bawah kategorikan pembunuhan tanpa sebab yang syar’ie dan dianggap satu kezaliman terhadap makhluk yang bernyawa yang dilarang.

Justeru selagi haiwan tersebut boleh dijaga dan dirawat, ia mestilah dibiarkan hidup dan tidak dibunuh. Namun demikian, timbang-tara antara maslahah dengan mafsadah dan antara dua mafsadah (الأخذ بأخف الضررين) mestilah di ambil kira.

Dalam sesetengah kes, membiarkan haiwan yang sedang dalam kritikal tanpa dibunuh adalah lebih menyeksakan haiwan tersebut berbanding dengan melakukan euthanasia terhadapnya. Apatah lagi jika ia penjagaan dan rawatarn terhadapnya memerlukan kos yang amat tinggi. Dalam kes seperti ini, pandangan yang mengharuskan euthanasia terhadap haiwan yang sedang nazak atau kritikal  boleh diguna pakai berdasarkan pertimbangan bahawa kemudaratan membiarkannya hidup lebih besar daripada kemudaratan melakukan euthanasia.

Selain itu, marilah kita sama-sama contohi amalan baik yang sedang dilakukan banyak pihak pada masa sekarang yang menolong merawat, memberi makan minum serta menjaga binatang-binatang terbiar, bahkan ada yang telah membantu ratusan binatang atas inisiatif sendiri. Ini merupakan satu amalan yang amat terpuji dan dipandang mulia di sisi agama.

Wallahu a’lam.


Sumber: Muftiwp

mamapp

Masa mengajar kita tentang segalanya.. Masa mematangkan kita seiring dengan usia..

8 Comments

Words of wisdom

  1. Allahuu..bila baca entri mama ni..teringat pada kucing shida dulu..dia pergi depan mata..dah la masa tu tinggal shida je kat rumah..sampai tak tahu nak buat ape..lg2 shida ni takut kucing..

    ReplyDelete
  2. terima kasih perkongsiannya mamapipie :)

    ReplyDelete
  3. terima kasih atas perkongsian ini

    ReplyDelete
  4. Memang kontroversi isu ini. Ok terima kasih bagi pencerahan.

    ReplyDelete
  5. Tak tergamak nak bunuh, kalau sakit rasanya biarlah dia mati sendiri

    ReplyDelete
  6. kalau terjumpa binatang yang baharu dilanggar atau eksiden dan nazak..
    kesian dia lain macam sampai tak sanggup nk tgk

    ReplyDelete
  7. Satu perkongsian yang ohsem..
    Ilmu baru lagi.. tq kak adda..

    ReplyDelete
Previous Post Next Post