Kronologi Serangan ke atas Penceroboh di Lahad Datu.. Sama-sama doakan!

Salam semua, ni mama ada ambil kronologi sket dari BH ttg serangan yang sedang dilakukan ke atas penceroboh di Lahad Datu.. Semoga pasukan keamanan kita mendapat kemenangan. Sudah2 lah tu. Makin lama tunggu makin byk pula kematian. Harapan mama semoga drama pencerobohan ini cepat2 diselesaikan. Mari sedekahkan alfatihah kepada team keamanan Negara.. semoga segalanya dipermudahkan.. aminn

7 pagi
KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan pada jam 7 pagi tadi melancarkan serangan di Kampung Tanduo, Lahad Datu ke atas penceroboh kumpulan bersenjata demi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana dituntut oleh rakyat Malaysia.

8 pagi
LAHAD DATU: Kedengaran beberapa letupan bom dipercayai daripada jet pejuang tentera dijatuhkan di Kampung Tanduo, dekat sini yang menjadi lokasi persembunyian kumpulan penceroboh dari Selatan Filipina.
Sejak jam 7 pagi tadi, kedengaran empat kali bunyi bom dari hotel wartawan yang membuat liputan yang terletak kira-kira 20 km dari lokasi kejadian.

9 pagi
LAHAD DATU: Serangan udara dihentikan sebentar tadi dan kini disusuli operasi darat pasukan keselamatan di lokasi persembunyian penceroboh besenjata di Kampung Tanduo, dekat sini.

10 pagi
KUALA LUMPUR: Sehingga jam 10 pagi ini, pasukan keselamatan negara melancarkan operasi besar-besaran bagi menumpaskan pencerobohan tentera Sulu di Kampung Tandou, Lahad Datu, Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, operasi dimulakan dengan serangan udara menerusi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) dan diikuti ledakan mortar.
"Dan ketika saya sedang berucap ini, anggota polis berada di dalam kereta perisai sedang melakukan tindakan untuk memberkas penceroboh yang melanggar kedaulatan negara.

"Niat kita untuk tidak membenarkan setitik darah pun tertumpah di bumi Sabah. Tidak kira daripada pihak penceroboh atau pun anggota keselamatan kita," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Ulama, Umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Najib berkata, dukacitanya, niat yang baik dan murni ini dibalas dengan tindakan yang sangat kejam.

"Masa untuk kita beri apa-apa pertimbangan susah berakhir dan kita sedang bertindak memerangi penceroboh dengan kekuatan yang ada," katanya.

"Soal kedaulatan dan keselamatan negara, kita tidak akan biar keamanan yang kita kecapi diganggu gugat dan dinodai oleh mana-mana pihak."



Ini plak berita dari Bernama

Tindakan Ofensif Di Kampung Tanduo Pagi Ini Capai Objektif - KPN


KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pihak keselamatan dipercayai dapat menyelesaikan krisis pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu selepas melancarkan serangan ofensif di kawasan Kampung Tanduo, Lahad Datu pagi Selasa.

Walaupun operasi masih berjalan, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis dan tentera mencapai objektif yang ditetapkan, mengikut sasaran yang ditentukan.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di Lahad Datu, Sabah, Ismail berkata pasukan keselamatan melancarkan tindakan ofensif terhadap kumpulan pengganas yang bertapak di Kampung Tanduo.

Beliau berkata tiada orang awam di kawasan sekitar ketika operasi dilancar dengan menggunakan jet pejuang sejak pukul 7 pagi.

Ismail berkata tiada kehilangan nyawa di pihak pasukan keselamatan manakala setakat ini jumlah kematian dan kecederaan di pihak musuh belum dapat disahkan.

Ismail berkata sejak serangan ofensif dimulakan, pasukan keselamatan negara mendapat tentangan apabila pihak musuh melepaskan tembakan ke arah anggota polis dan tentera.

Awal pagi ini, wartawan Bernama yang berada di Felda 16, kira-kira 20 kilometer dari Kampung Tanduo turut mendengar beberapa letupan yang menggegarkan perkampungan itu.

Beberapa jet pejuang dan helikopter dilihat turut berlegar di ruang udara kawasan itu dan orang ramai tidak dibenar menghampiri kawasan operasi.

Ismail berkata pada masa ini pasukan keselamatan menggerakkan anggota komando, tentera dan Pasukan Gerakan Am (polis) untuk menjalankan tindakan susulan dan penggeledahan di beberapa rumah di kawasan itu.

Ketua Polis Negara turut menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian mengenai operasi itu khususnya berkenaan jumlah kematian atau mereka yang cedera.

"Berita-berita yang tidak tepat ini boleh jejaskan operasi yang sedang berjalan," katanya yang meminta orang ramai tidak perlu bimbang kerana serangan ofensif dalam 'Ops Sulu' itu hanya melibatkan Kampung Tanduo.

Beliau turut meminta orang ramai memberi kerjasama dan jangan cuba memasuki kawasan operasi itu serta mematuhi arahan pasukan keselamatan.

"Kawasan operasi lebih kurang 10 kilometer persegi...selamat...kawasan khusus lebih kurang empat kilometer persegi...jangan masuk dalam kawasan ini," katanya

Ismail berkata serangan ofensif itu perlu diambil pasukan keselamatan dalam mempertahan keselamatan negara dan memastikan keamanan dan ketenteraman di Sabah tidak tergugat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan pagi ini berkata kerajaan mesti mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.

"Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh. Rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, bimbangkan keselamatan mereka," kata Najib.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera berkata pasukan tentera menggunakan bahan letupan tertentu dalam serangan ofensif itu untuk menentukan agar keselamatan anggota polis dan tentera terjamin apabila mereka memasuki kawasan berkenaan untuk tindakan susulan dan penggeledahan.

"Memandangkan operasi masih berjalan, saya tidak boleh dedahkan sistem apa yang kami guna," katanya.

-- BERNAMA


mamapp

Masa mengajar kita tentang segalanya.. Masa mematangkan kita seiring dengan usia..

9 Comments

Words of wisdom

  1. semoga semua nya dapat diselesaikan dengan cepat dan selamat..

    ReplyDelete
  2. semoga semuanya berakhir dengan segera . Ya Allah lindungilah kami dari sebarang kebinasaan . ameen

    ReplyDelete
  3. semoga semuanya kembali seperti sedia kala...

    ReplyDelete
  4. moga Allah memberi bantuan kepada para pejuang kita, sebak bila baca setiap post pasal ni, dorang memang tah apa-apa, tak tau nak gambar camana, moga kita dapat tumpaskan mereka..
    doa dihantar buat mereka yang berjuang, doa senjata muslim..aminn....

    ReplyDelete
  5. semoga segala2nya kembali aman seperti sediakala
    amin

    ReplyDelete
  6. amin.. semoga doa kalian dimakbulkan Allah.. mama pipie pun sebenarnye tak sampai hati nak baca ttg perkara ni. cerita ttg 2 org pegawai polis yg maut mula2 dulu pn malam keesokkannya baru mama ada kekuatan nak baca.. skrg ni pun mmg tak sampai hati nak baca berita2 di akhbar.. mesti bergenang2 airmata..

    ReplyDelete
  7. Semoga keluarga psukan keselamatan diberi kekuatan menerima ujian dan roh pejuang drahmati Allah bersama para syuhadak

    ReplyDelete
Previous Post Next Post